NORGADIS LABUAN “ Suara Hati Wanita Pulau ”

 

Di awal penghasilan puisi oleh seseorang penyair, ukuran pencapaian dilihat dari aspek dekorasi. Sebuah puisi dikatakan baik dan indah sekiranya ia banyak memasukkan diksi-diksi puitis. Pada dekad 1960-an, sajak-sajak Usman Awang yang banyak berunsurkan dekoratif menjadi ikutan gaya penulis ketika itu sehinggakan menjadi suatu klise kepada penyair-penyair baharu. Namun kini, kelompok penyair baharu mulai sedar bahawa identiti kepenyairan adalah penting. Peminat susastera mula menemui gaya kepenyairan yang mula mengenengahkan idea dan pemikiran tersendiri.

Program Majlis Lima Jiwa Satu Hati yang telah diadakan di Pulau Labuan pada 26-28 haribulan Jun baru-baru ini merupakan kesempetan bertemu dengan penulis-penulis Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA). Menerusi pengamatan, terdapat ramai penulis baharu dan senior yang sangat berbakat walaupun jarang didedahkan di dada media massa seperti Othman Mahali, Sahar Misrom, Hasnah Sambas, Suili Bakar ANS, Norgadis Labuan.

Apabila membaca sajak-sajak Norgadis Labuan akan menemukan kita dengan gaya kepenyairannya. Aspek yang paling ketara ialah bahawa sajak-sajak beliau banyak berbentuk liris. Mengakrabi sajak-sajaknya akan menyedarkan kita bahawa ada kisah dan mesej yang ingin ditonjolkan dalam garapan karyanya dan kisah itu berada dalam balutan gaya lirisnya.

Tidak sukar untuk memahami kisah yang ingin disampaikan kerana sajak-sajak beliau banyak
menggunakan bahasa mudah untuk dimesrai khalayak pembaca. Menyelesakan pembaca untuk menghayati setiap bait-bait kata dengan emosi secara naratif, sajak dihasilkan berkisar tentang kisah kehidupan dan suara kecintaannya sebagai gadis pulau. Ianya boleh didalami menerusi sajak  Aku Anak Nelayan, Antara Dua Benua, Gema Citra Suara Borneo, Labuan Bandar Kecilku, Pulauku dan Sepulau Sekasih Kita.




Berkongsi latar belakangnya, wanita berbakat ini dilahirkan di Kampung Layang-Layangan Labuan pada 03 April 1971. Mendapat pendidikan di SRK Kerupang Labuan dan SMK Labuan.

Menjadi ahli Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) pada tahun 1987, tetapi mula aktif berpersatuan pada tahun 2009. Norgadis pernah menjadi Penolong Setiausaha dan Setiausaha PERWILA sebelum ini dan kini merupakan Bendahari PERWILA.
Taburan jasa dan pengalamannya banyak digunakan membantu menghidupkan lagi kegiatan PERWILA.

Menariknya, Norgadis menjadi ahli PERWILA semenjak di bangku persekolahan lagi iaitu pada tahun 1987 atas dorongan Pengetua Sekolah Menengah Labuan, Ahmad Badri dan Pengetua Sekolah Menengah Membedai, Othman Mahali yang merupakan Ketua 1 PERWILA.

Selain sajak, Norgadi mencuba bakat dalam kegiatan teater dan membuat beberapa pementasan bagi sekolah sempena Hari Guru, Hari Kebangsaan dan Minggu Sastera Labuan. 
Majlis Penyampaian Cenderamata Sempena 
Bicara Karya Mawar Merah dan Bicara Langit Kepada Awan

Empunya nama sebenar Masmah Mohd Ali ini merupakan penulis wanita pertama di Pulau Labuan yang Berjaya menghasilkan kumpulan puisi persendirian berjudul Mawar Merah.
Menerusi Mawar Merah dia menonjolkan suara tulus penulis wanita dan ingin ditatap secara jernih oleh khalayak pembaca.

Kerana itu, dia berharap kumpulan puisi itu dapat menambahkan lagi koleksi karya sastera khususnya puisi di Wilayah Persekutuan Labuan dan bermanfaat kepada pembaca.
Baris-baris puisi dibina secara ‘readerly’ untuk mengongsi makna dengan pembaca. Beliau berpendapat, sebagai penulis wanita, dia bertanggungjawab untuk mengangkat martabat kaum wanita itu sendiri.  Karya-karya yang dihasilkan hendaklah yang member teladan yang baik kepada masyarakat serta elakkan menghasilkan karya yang menjatuhkan kaum wanita, kerana karya seperti itu akan menimbulkan persepsi negative masyarakat terhadap kaum wanita.

“Ia juga berharap dapat menjadi titik semangat kepada penulis lain untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik,” katanya.


Mantapkan Penulisan

Berbicara lanjut, penulis wanita ini berpegang kepada falsafah hidup, ‘jangan banding usaha kita dengan orang lebih rendah, tapi bandinglah usaha kita dengan orang lebih tinggi, pasti kita akan terus berusaha mencari tempat yang lebih baik.’

Falsafah inilah yang sentiasa menjadi pendorong positif untuk beliau terus menulis di samping sokongan daripada ahli keluarga dan sahabat yang memahami minat beliau sebagai penulis.

Norgadis menceburi bidang penulisan dalam ganre puisi pada tahun 1986.  Puisi pertama tersiar di akbar Nadi Labuan pada tahun 1987.  Kemudian berjinak-jinak pula dalam penulisan cerpen pada tahun 1991 dan karya pertamanya itu tersiar di Radio Malaysia Labuan pada tahun 1992.

Sepanjang penglibatan sebagai penulis, larikan mata pena beliau telah dimuatkan ke dalam lebih daripada 30 antologi bersama penulis dalam negara dan Nusantara.  Mahu pergi jauh dan serius dalam bidang penulisan membuatkan Norgadis sering melibatkan diri menyertai pelbagai kursus dan bengkel bsgi mempertajamkan lagi kemahiran penulisannya.

PROFIL
  
  •  ·         Tempat Ketiga Peraduan Menulis Puisi PERWILA 1998 - Aku Benci Padamu
  • ·         Penghargaan Pertama Sayembara Menulis Cerpen IV dan Puisi II 2000 - Tumbangnya Si Pulai
  • ·         Penulis Terbaik Genre Puisi Hadiah Sastera PERWILA 2012 (Kategori Puisi tahun 2008/2010)
  • ·         Penulis Kedua Terbaik Genre Cerpen Hadiah Sastera PERWILA 2012 (Kategori Cerpen tahun 2008/2010)
  • ·         Tempat Kedua Peraduan Menulis Antologi Puisi RTM Labuan FM 2014 – Antologi Sebuah Kamar Yang Kaku
  • ·         Tempat Pertama Peraduan Menulis Sajak HSH Januari 2015 - Banjir
  • ·         Tempat Pertama Peraduan Menulis Sajak HSH tema Ramadan Jun 2015 - Ramadan
  • ·         Tempat Ketiga Peraduan Menulis Puisi PERWILA 2015 - Jendela Dunia
  • ·         Tempat Ketiga Peraduan Menulis Cerpen RTM Labuan FM 2015 - Seorang Tua Di Tepi Pantai
  • ·         Warkah Penghargaan Tinta Emas daripada Kerajaan Negeri Sabah 2003.
  • ·         Anugerah Pengerak Bahasa dan Sastera Budaya PERWILA 2015
  • ·         Anugerah Penulis PERWILA 2015 (Kategori Buku Antologi)
  • ·         Anugerah Khas Penulis Antarabangsa PERWILA 2015

·        
SINAR HARIAN, Ahad 10 Julai 2016
IKON SENI & BUDAYA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Google Translate