Kumpulan Puisi Mawar Merah hasil tarian pena penyair
wanita dari Pulau Labuan yang menggunakan nama pena Norgadis Labuan atau nama
sebenarnya Masmah Binti Mohd.Ali yang bernaung di bawah naungan Persatuan
Penulis Labuan (PERWILA) sejak tahun 1987 lagi dan pernah memenangi berbagai
anugerah dalam bidang penulisan seperti Warkah Penghargaan Tinta Emas daripada
kerajaan negeri Sabah pada tahun 2003, Anugerah Pengerak Bahasa dan Sastera
Budaya PERWILA 2015, Anugerah Penulis PERWILA 2015 (Kategori Buku Antologi Terbanyak)
dan Anugerah Khas Penulis Antarabangsa PERWILA 2015.
Kumpulan puisi Mawar Merah ini adalah sebuah
kumpulan puisi yang menggambarkan cerita dan ceritra seorang wanita. Kumpulan
puisi ini telah memuatkan 63 buah puisi Norgadis Labuan tentang kehidupan, alam,
pergolakkan nurani, ketuhanan, keimanan, kesufian dan harapan seorang insan wanita
di dalam kehidupan di alam nyata dan di akhirat kelak. Suara hati dan gelodak
jiwa seorang wanita secara halusnya
tergambar melalui puisi-puisi yang telah diketengahkan oleh penulis. Kumpulan puisi ini menggunakan salah satu
puisinya sebagai tajuk buku iaitu ‘Mawar Merah’. Puisi yang bertajuk ‘Mawar Merah’ ini
menceritakan tentang kekuatan kaum wanita dalam mengharungi hidup di marcapada
ini.
Melalui puisi yang bertajuk ‘Andainya Aku Jatuh
Cinta’, kita akan dapat melihat bagaimana hati seorang wanita yang mengharapkan
seorang bakal suami yang punyai nilai pegangan agama yang kukuh hadir dalam
hidupnya. Dengan kehadiran lelaki
seperti ini dapatlah beliau bergantung harap untuk membimbingnya dalam
mengharungi kehidupan ini, agar beliau mendapat kesajahteraan hidup di dunia
dan akhirat. Situasi inilah yang
menggambarkan puisi ini adalah milik seorang wanita sebagai pengkaryanya. Hanya seseorang yang bergelar wanita sahaja
dapat berhalusinasi begini dalam mencari zat ketuhanan, sepertimana rangkap
pertama puisi;
“ Ya Allah
andainya aku jatuh cinta
cintakan aku kepada insan
yang melabuhkan bahtera cintanya pada-Mu
agar aku selanmat dan terus mencintai-Mu”
(Andainya
Aku Jatuh Cinta)
Begitu juga
dengan puisi yang bertajuk ‘Doa Seorang Ibu’, melalui puisi ini penyair mengharapkan
puteri-puterinya menjadi muslimah yang bertakwa klepada Allah. Hanya seseorang wanita yang punyai jati diri
seorang ibu yang mampu menzahirkan kata-kata puitis seepertimana dalam puisi
ini bagi menggambarkan suara hati seorang ibu, sepertimana dalam rangkap ke 2
puisi;
“Kalaku pandang
karenah
anak-anakku membesar
ada ketikanya sabarku hilang
namun
pabila maha pencipta berkata
sesungguhnya
syurga itu di bawah telapak kakimu
aku
gementar
lantas aku menangis dan berdoa
…………………”
(Doa
Seorang Ibu)
Dalam
puisi ‘Aku Menjadi Pengantin’, Norgadis Labuan
dengan jayanya dapat menggambarkan kisah sebuah kematian. Norgadis Labuan dapat
menjiwai puisi ini dengan sempurna.
Melalui puisi ini, kita dapat lihat bagaimana pengurusan jenazah
seeorang itu sebelum dibawa ke kuburan. Setiap jenazah itu akan diurus dan dilayan
seumpama pengantin baru, kerana kematian itu pasti akan dirasai oleh setiap
mahkluk yang bergelar manusia dan setiap yang mati itu tidak akan kembali lagi
ke dunia ini untuk bersama-sama kaum keluarga, sahabat handai dan saudara
mara. Jadi sebagai penghormatan terakhir
kepada arwah, jenazah akan diuruskan sebaik mungkin. Sepertimana yang digambarkan oleh penyair
melalui rangkap ke 2 dan ke 3;
“Saat aku jadi pengantin
aku dipakaikan gaun putih
gaun putih yang penuh dengan wangian
berlapis-lapis dengan sempurhna”
(Rangkap
2, Saat Aku Jadi Pengantin)
“Saat aku jadi
pengantin
aku dimahlkotakan di kepala
aku berkalung di badan
dan aku bergelang kaki”
(Rangkap
3, Saat Aku Jadi Pe4ngantin)
Digambarkan juga melalui puisi ‘Saat Aku Jadi Pengantin’ ini, penyair
dapat menghayati tentang kegusaran si mati untuk mengadap Tuhan di atas bekal
iman dan amal yang dikumpulkan semasa hidup.
Penghayatan kegusaran oleh penyair dapat kita lihat melalui bait-bait berikut ;
“Saat aku menjadi pengantin
aku menunggu penuh debar
pabila kadi liang lahad
berjabat mesra dengan pasanganku
yang disaksikan tiang-tiang nisan
penuh makna dan rahsia”
(Saat
Aku Jadi Pengantin)
Melalui puisi-puisi
Norgaduis Labuan juga, kita akan dapat melihat soal-soal mencari Tuhan dan
kesufian. Memerlukan penilaian dan
pemahaman yang cukup tinggi untuk kita dapat memahami tentang apa yang tersirat
di sebalik yang tersurat melalui puisi-puisi tersebut. Perihal ini dapat kita lihat melalui puisi
‘Bicara Subuh’ di rangkap ke 2:
“Iman beriman
ilmu berilmu
amal beramal
bertugaskah ia ?”
(Bicara Subuh)
Penyair
juga ada menceritakan tentang penghargaan kepada kedua ibu bapa melalui
puisi-puisinya. Perihal ini dapat kita
lihat melalui puisi ‘Aku Anak Nelayan’.
Melalui puisi ini penyair menceritakan tentang penat jerih serta
pengorbanan ibu bapanya mendidik dan menjaganya sehingga dapat mengecapi nikmat
bahagia di kehidupan ini dan budi kedua ibu bapanya itu tidak akan dilupakannya
sampai bila-bila pun. Gambaran tentang
perkara tersebut dapat di lihat melalui
rangkap ke 5;
“Ombak laut
mengajar erti kasih
pasir di pantai yang setia
menjadi saksi keikhlasan
sepasang suami isteri
menjadi nelayan
kerana cinta”
(Aku
Anak Nelayan)
Begitulah di antara kepusan yang
dapat dibuat melalui Kumpulanm Puisi Mawar Merah, karya Norgadsi Labuan ini. Sesungguh
membaca Kumpulan Puisi Mawar Merah dapat memberikan sebuah keinsafan tentang
makna kehidupan. Sesebuah kehidupan itu akan
menjadi lebih bermakna jikalau kita memaknai sesebuah kehidupan itu dengan
dengan nilai kasih sayang sesama manusia,
mengenang budi, nasihat menasihati, menghargai alam dan sentiasa mencitai dan
mendekati diri dengan Tuhan melalui keimanan dan ketakwaan yang terpatri kukuh
di hati. Ramuan tentang perkara ini terdapat
di dalam Kumpulan Puisi Mawar Merah karya
Norgadis Labuan. Selamat membaca hasil
karya hebat penulis wanita Wilayah Persekutuan Labuan ini. “Tak kenal, maka tak cinta”.
Oleh : AIZAMIN ABD.
AZIZ
Utusan Borneo 15 Mei 2016
Utusan Borneo 15 Mei 2016